Isnin, 28 Jun 2010

BiarKan Air mata Itu meNitis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang.

Isnin, 14 Jun 2010

kisaH CiNta seOrg WaNitA

Dalam sebuah riwayat yang mengatakan bahawa seorang lelaki munafik yang sangat kedekut telah bersumpah kepada isterinya supaya isterinya itu tidak menyedekahkan sesuatu apa-apapun kepada orang lain.

Maka pada suatu hari datang seorang peminta sedekah ke rumah orang munafik itu dengan berkata : “ Wahai penghuni rumah, tolonglah berikan aku sesuatu .”
Sebaik sahaja isteri orang munafik itu mendengar ada orang meminta sesuatu maka dia pun memberi kepada orang itu 3 keping roti.

Dalam perjalanan orang munafik itu telah melihat akan pengemis yang sedang membawa 3 keping roti dan lalu bertanya : “ Dimanakah kamu mendapat roti ini?” Maka pengemis itu pun berkata : “ Orang rumah disana itu memberikan kepadaku .”

Setelah orang munafik itu tahu bahawa rumah yang dimaksudkan itu adalah rumahnya maka dengan perasaan marah dia pergi ke rumahnya dengan berkata : “Bukankah aku telah melarang kamu dari memberikan sesuatu kepada sesiapapun ?”

Kemudian isterinya berkata : “ Aku memberikan kepada pengemis itu adalah kerana Allah S.W.T.” Apabila orang munafik itu mendengar kata-kata isterinya maka dia menjadi marah, lalu menyalakan dapur rotinya sehingga panas, kemudian berkata orang munafik itu : “ Berdirilah dan campakkan diri kamu ke dalam api ini kerana Allah .”

Lalu isteri munafik itu memakai perhiasannya, tetapi orang munafik itu berkata : “ Kamu jangan pakai perhiasan –perhiasan ini .” Berkata isteri orang munafik itu : “Seorang kekasih akan memakai perhiasan untuk kekasihnya, sedang aku adalah orang yang sedia berkunjung pada kekasihku Allah .

Setelah berkata demikian maka isteri orang munafik itu pun terjun ke dalam dapur tempat buat roti, lalu orang munafik itu menutup tudung dapur dan beredar dari situ.
Setelah 3 hari maka orang munafik itupun membuka tudung dapur dan dia terperanjat apabila melihat isterinya itu masih sihat tanpa terdapat apa-apa cacat dengan kuasa Allah S.W.T.
Setelah itu orang munafik itu mendengar suara berkata : “ Kamu tidak mengerti bahawa sesungguhnya api tidak akan membakar kekasih-kekasih Kami

Isnin, 7 Jun 2010

KaSiH AnaK

Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut baik oleh anaknya yang berusia 7 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, si anak itu bertanya kepada ayah…..

Anak: Ayah…ayah. . boleh Amin tanya satu soalan?

Ayah: Hmmm….nak tanya apa?

Anak: Ayah…berapa pendapatan ayah sejam di pejabat?

Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sebuk-sebuk nak tanya? Si ayah mula menengking.

Anak: Amin saja nak tahu ayah…Tolonglah beritahu berapa pendapatan ayah sejam di pejabat? Si anak mula merayu pada ayahnya.

Ayah: 20 ringgit sejam.. Kenapa nak tahu? Jerkah ayahnya lagi..

Anak: Oh..20 ringgit..

Amin menundukkan mukanya.

Anak: Ayah.. boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit dari ayah?

Si ayah mula menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa dengan duit tu? Mintak sampai 10 ringgit? Nak beli mainan lagi?? Ayah penat-penat kerja cari duit,kamu senang-senang nak membazir ya.. Sudah, pergi masuk bilik…tidur! Dah pukul berapa nih…!!”

Si anak itu terdiam dan perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya yang sekecil itu meminta duit sampai 10 ringgit.

Kira-kira 2 jam kemudian, ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah kerana anaknya tak pernah meminta wang sebegitu banyak sebelum ini.Dengan perasaan bersalah, si ayah melangkah menuju kebilik anaknya. Didapati anaknya masih belum tidur.

“Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah.. ambil ni” Si ayah mengeluarkan sekeping kertas not berwarna merah. Kanak- kanak itu segera bangun dan tersenyum girang.

“Terima kasih banyaklah ayah!”Lalu dia mengangkat bantalnya dan mengeluarkan sekeping not 10 ringgit yang sudah renyuk terhimpit oleh bantal. Bila ternampak duit itu, si ayah kembali berang.

“Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu?? Dan dari mana kamu dapat duit tu??”

Amin tunduk… tak berani dia merenung ayahnya. Sambil menggenggam kemas duit itu, dia menerangkan. ….

“Duit ni Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari tu. Amin minta lagi 10 ringgit kat ayah sebab Amin tak cukup duit…”

“Tak cukup duit nak beli apa??” Jerkah ayahnya lagi.

“Ayah…. sekarang Amin dah ada 20 ringgit.. Nah..ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah dipejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah..”

Jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya…

Ahad, 6 Jun 2010

kelembutan menimbulkan keinsafan

Seorang Nasrani bermaksud mengejek-ejek Imam Muhammad bin Ali bin Husain yang digelar orang dengan panggilan “Al-Baqir” (yang luas pentahuannya). Orang Nasrani itu berkata kepadanya: “Engkau adalah baqar (lembu).” Maka Imam Baqir menjawab dengan penuh kelembutan: “Bukan, tetapi saya adalah Al-Baqir.”

Orang Nasrani tersebut tidak menghiraukan jawapan itu. Selanjutnya ia berkata: “Engkau adalah anak seorang tukang masak. Engkau adalah anak seorang wanita hitam yang mulutnya berbau busuk.”
Al-Baqir menjawab: “Seandainya engkau benar, maka aku doakan semoga wanita itu diampuni oleh Allah, dan jika engkau bohong, maka aku doakan semoga Allah mengampunimu.”

Ternyata sikap lemah-lembut dan pemaaf yang dimiliki oleh Imam Muhammad bin Ali bin Husain itu telah menimbulkan rasa kagum pada diri orang Nasrani tersebut, sehingga akhirnya diapun bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perangai buruknya itu dan menyatakan dirinya masuk ke dalam agama Islam.